Tuesday, September 28, 2010

Ya Illahi.. Sejauh manakah aku mampu mencontohinya??

Saidatina Khadijah Binti Khuwailid PDF Print E-mail
Khamis, 15 Januari 2009 17:05
”Demi Allah! Dia (Khadijah) beriman kepadaku disaat orang-orang mengingkariku. Dia membenarkanku di saat semua orang mendustakanku. Dan dia membantuku dengan menginfakkan segenap hartanya ketika semua orang menahan hartanya dariku dan Allah telah mengurniakan beberapa orang zuriat dari rahimnya yang tidak aku perolehi dari isteri-isteriku yang lain”. [HR Ahmad, Al-Isti’ab karya Ibnu Abdil Ba’ar].

Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin 'Abdil 'Uzza bin Qushay Al-Qurasyiyah Al-Asadiyah radhiyallahu'anha. Muslim manakah yang tidak pernah mendengar sebutan namanya?.  Siapakah yang menyangka di saat itu, keharuman peribadinya kelak akan merebak di sepanjang sejarah Islam di dada setiap kaum Muslimin? Siapakah yang terfikir bahawa wanita mulia ini akan dikurniakan satu keutamaan yang amat besar yang tidak pernah diperolehi oleh sekalian hamba Allah sejak penciptaan insan? Siapakah yang menduga bahawa wanita cantik jelita ini akan mendampingi manusia yang paling agung dalam rentang awal perjalanan dakwahnya? Siapakah yang mampu meramal ketentuan Allah ini? Maha Suci Allah yang telah menciptakan dan mentakdirkan wanita mulia ini sebagai pendamping Nabi akhir zaman.

Beliaulah isteri, sekali gus wanita pertama yang beriman kepada Allah dan Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam.  Dianugerahi reputasi yang sungguh mulia, keturunan yang terhormat, peribadi yang luhur, perjalanan hidup yang istimewa, ketajaman daya fikir, semangat yang tinggi dan kalbu yang bening, nama Khadijah begitu harum di dalam sejarah Islam. Sebelumnya, beliau dikenali sebagai seorang wanita yang menjaga kehormatan dirinya sehingga digelar ath-Thahirah (wanita yang suci) .

Beliau seorang janda dari suaminya yang terdahulu, Abu Halah bin Zararah bin an-Nabbasy bin 'Ady at-Tamimi, kemudian berkahwin dengan 'Atiq bin 'A`idz bin 'Abdillah bin 'Umar bin Makhzum. Khadijah radhiallahu anha adalah wanita pedagang yang mulia dan banyak harta. Ternyata pekerjaannya itu telah menghantarkan kepada pertemuannya dengan manusia yang paling mulia. Saat dia kembali menjadi janda, seluruh pemuka Quraisy memasang angan-angan agar dapat menyuntingnya. Buah tutur Maisarah membekas di hatinya tatkala berita tentang kejujuran, amanah, dan kebaikan akhlak seorang pemuda Quraisy dikhabarkan kepada beliau. Tersimpan keinginan yang kuat dalam dirinya untuk memperoleh kebaikan itu, hingga diutus seseorang untuk menemui Rasululllah Sallallahu alaihi wa Sallam dan menyampaikan hasratnya. Ditawarkan dirinya untuk dipersunting Muhammad Sallallahu alaihi wa Sallam, seorang pemuda yang saat itu berusia 25 tahun, miskin dan yatim piatu tetapi tersohor kerana luhur peribadinya. Wanita jelita itu memperoleh kembali belahan hatinya dalam usia 40 tahun. Tersurat peristiwa ini dalam sejarah 15 tahun sebelum Muhammad Sallallahu alaihi wa Sallam diangkat sebagai Nabi akhirulzaman.

Perawat Duka, Khairul Anam

Wanita mulia inilah menjadi perawat duka suaminya di saat penurunan al-Haq melalui perantaraan Jibril alaihi sallam yang menggoncang hati Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. “Aku khuatir akan terjadi sesuatu pada diriku”. Diselimutinya Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam sehingga beliau kembali tenang dan hilang rasa ketakutannya. Dengan tenang dan lembut, beliau yang mengalirkan tutur kata penuh hikmah dari lisannya lantas membiaskan ketenangan di dalam dada suaminya,

“Demi Allah, Allah tidak akan menyusahkan dirimu selama-lamanya. Bergembira dan teguhkanlah hatimu. Sesungguhnya engkau seorang yang suka menyambung tali persaudaraan, suka menanggung beban orang (yang kurang bernasib baik), menghormati tetamu, memberikan sesuatu kepada orang yang tidak mampu, bercakap benar dan memberikan bantuan kepada mereka yang ditimpa bencana”.

Sesungguhnya beliau telah menjalankan peranan politiknya dengan ketajaman dan kepekaan akalnya yang menjadikan beliau mampu untuk mencermati serta memahami dengan jelas masalah wahyu dan risalah yang diterima oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam,

”Terimalah khabar gembira dan teguhkanlah hatimu! Demi Zat yang diriku di tanganNya, sesungguhnya aku berharap engkau menjadi Nabi umat ini”.

Perkhabaran dari Waraqah menjadikan beliau mampu memahami peranan yang bakal dipikul oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam dengan turunnya wahyu tersebut.

”Khadijah, kalau engkau masih percaya kepadaku, sesungguhnya telah datang ”an-nams  al-akbar” kepadanya. Dia adalah Nabi umat ini. Maka katakanlah kepadanya agar dia berteguh hati”.

Baginda bukan sahaja seorang suami, atau ayah kepada anak-anaknya, tetapi juga Utusan Allah dalam menyampaikan wahyu dan risalahNya untuk umat yang ada pada ketika itu sehinggalah ke hari kiamat.

Di sinilah titik mula kepada sebuah pengorbanan yang tiada surut dan gantinya. Beliau jugalah manusia pertama yang solat di belakang Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam bersama Saidina Ali radhiallahu anhu. Terus mengalir dukungan dan pertolongan dari beliau dalam menghadapi kaumnya. Beliaulah yang membantu Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam dalam mengibarkan bendera Islam, tegar bersama Rasulullah sebagai angkatan pertama. Setiap kali beliau mendengar kata-kata kesat yang dilontarkan kepada suamninya, beliaulah yang setia di sisi baginda dan meringankan beban perasaan yang sangat berat ditanggung oleh kalbu manusia terpilih.

Bukan hanya itu sahaja kebaikan Khadijah radhialllahu anha. Beliau mengorbankan setiap harta yang dimiliki kepada suaminya. Bahkan, ketika Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam menampakkan rasa senangnya pada Zaid bin Haritsah, seorang hamba miliknya, beliau segera menghibahkan hamba itu kepada suaminya. Zaid diangkat sebagai orang yang sangat dekat di sisi Rasulullah dengan menjadi anak angkat baginda sendiri. Turut tercatat, Zaid memperolehi kemuliaan sebagai salah seorang dari saf pertama yang mengimani dakwah Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam.

Sebagai seorang isteri, beliau merupakan pendorong utama bagi Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam untuk selalu giat berdakwah, bersemangat dan tidak kenal menyerah. Beliau juga selalu berusaha meringankan beban berat di bahu Rasulullah. Kebijakan, kesetiaan dan banyak lagi kebaikan Khadijah tidak pernah lepas dari ingatan baginda Rasul. Bahkan sehingga Khadijah meninggal dunia. Beliau benar-benar seorang isteri yang mendapat tempat tersendiri di dalam hati Nabi Allah ini. Betapa kasihnya baginda terhadap Khadijah sebagaimana di buktikan dari penceritaan Saidatina ‘Aisyah radhiallahu anha.

“Belum pernah aku cemburu terhadap isteri-isteri Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam sebagaimana cemburunya aku kepada Khadijah, padahal aku tidak pernah melihatnya. Tetapi Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam selalu menyebut-nyebut namanya, bahkan adakalanya menyembelih kambing dan diberikannya kepada sahabat-sahabat Khadijah. Bahkan pernah aku berkata, “Bukankah Khadijah itu seorang wanita tua? Bukankah Allah sudah memberikan kepadamu pengganti, isteri yang lebih muda dan baik daripadanya?”. Lalu Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam menyebut, “Tidak! Demi Allah !Dia Subhanahu wa Ta’ala tidak memberikan seorang pengganti yang lebih baik daripadanya. Dia (Khadijah) telah beriman kepadaku pada saat orang-orang mengingkariku. Dia membenarkan ajaran yang aku bawa di saat orang-orang mendustakanku. Khadijah  membantuku dengan menginfakkan segenap hartanya ketika orang-orang menahan hartanya dariku dan Allah mengurniakanku beberapa orang zuriat dari rahimnya yang tidak diberikan oleh isteri-isteri yang lain” . [HR. Ahmad, Al-Isti’ab karya Ibnu Abdil Ba’ar].

Ummul Mukminin ini sentiasa berada di samping Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam dan memberikan pembelaan terhadap baginda. Beliau juga bergabung bersama Rasulullah dan kaum Muslimin dalam memikul penderitaan lantaran sikap kaumnya yang mendustakan dan melecehkan dakwah baginda. Kesabaran dan keredhaan Khadijah dapat dilihat dengan jelas dalam siri hambatan terhadap dakwah Rasulullah, termasuklah dalam fasa pemboikotan terhadap Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib oleh orang-orang Quraisy yang selama ini menjadi pelindung kepada Rasulullah.

Wanita Teladan Sepanjang Zaman

Ditakdirkan Allah Subhanahu wa Ta’ala, di usia 65 tahun iaitu 3 tahun sebelum Hijrah, Khadijah radhiallahu anha kembali kepadaNya di saat-saat dakwah melalui fasa genting yang bakal menentukan kelangsungannya. Pemergian beliau ditangisi Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam, berlaku dalam selang waktu yang singkat selepas meninggalnya Abu Thalib, bapa saudara baginda. Sejak tahun kesedihan tersebut, hambatan-hambatan dakwah yang semakin getir dengan gangguan yang tidak putus-putus mula berani dilakukan oleh kaum kafir Musyrikin di Makkah.

Sesungguhnya nama Khadijah tercatat di dalam sirah sebagai wanita pilihan sehingga namanya disebut-sebut di kalangan penduduk langit dan bumi. Kemuliaan itu telah diraihnya sejak masih ada di muka dunia. Tatkala Jibril Alaihi Sallam datang kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan mengatakan, 

“Wahai Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam. Ini dia Khadijah. Dia akan datang membawa bejana berisi makanan atau minuman. Bila ia datang kepadamu, sampaikanlah salam padanya dari Rabbnya dan dariku, dan sampaikan pula khabar gembira tentang rumah buatnya di dalam syurga dari mutiara, yang tak ada keributan di dalamnya, dan tidak pula keletihan”. Khadijah lantas menjawab salam itu dengan katanya: “Allah Maha Penyelamat, daripada-Nya keselamatan dan kepada-Nya pula kembali keselamatan. Semoga keselamatan atas Malaikat Jibril.” [HR. Bukhari dalam Shahih Bukhari, Bab Perkahwinan Nabi SAW dengan Khadijah dan Keutamaannya, 1/539]

Wahai Muslimah yang dirahmati Allah! Sesungguhnya istana tersebut adalah jauh lebih baik dari pada gemerlapnya dunia fana yang telah memperdayakanmu. Dan ini adalah sebaik-baik khabar gembira dibandingkan dunia dan segala isinya. Tidakkah kalian ingin mendapatkannya pula?

Ya Allah! Betapa mulianya Khadijah binti Khuwailid, As-Sayyidah Ath-Thahirah. Seorang isteri yang setia dan tulus, mukminah mujahidah di jalan deenNya dengan seluruh apa yang dimilikinya dari perbendaharaan dunia. Semoga Allah memberikan balasan yang paling baik kerana jasa-jasanya terhadap Islam dan umat Islam seluruhnya.
 
~ya ummul mukminin.. aku tidak mampu menjadi sepertimu dalam membantu seorang mujahid dalam hidupku..Namun, aku cuba berusaha mencontohi langkahmu, kerana kau adalah wanita, sebaik-baik tauladan yang baginda cintai.. Aku ingin dicintai seperti mana Baginda s.a.w. mencintaimu.. Ya Allah.. bantulah aku..~

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails